BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Ahad, 20 Disember 2009

Literasi oh literasi


Budaya membaca perlu diterapkan bagi meningkatkan kadar liteasi seratus peratus menjelang tahun 2010. Kerajaan dalam kempennya telah menyarankan agar setiap keluarga mewujudkan perpustakaan di rumah masing-masing bagi mendorong galakan membaca kepada setiap isi rumah. Hakikatnya, rakyat Malaysia memang kurang membaca.Adalah sesuatu yang memalukan apabila kadar literasi di Malaysia hanya mencatatkan jumlah 93% dan galakan membaca pula berada di tahap 80%. Ini ditambah pula dengan kedudukan Malaysia di tangga 45 daripada 129 negara yang terlibat di dalam kaji selidik Laporan Pemantauan Global (GMR) 2009 yang bersidang di Oslo, Norway pada Ogos 2009. Kita masih dikalahkan oleh negara Jepun, Korea Selatan dan Brunei.

Seharusnya kita mesti renung kembali kepada Firma Allah yang bermaksud:

"IQRA (bacalah) dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari alaq. IQRA (bacalah) dan Tuhanmulah yang Maha Akram. Yang mengajar dengan perantaraan qalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (QS. Al-Alaq: 1-5)

Sahabatku, mari sejenak kita renungi lipatan sejarah berkembangnya Islam. Bukankah “IQRA” berhasil membawa Islam menjadi penggerak utama disebalik terjadinya revolusi ilmu pengetahuan sains moden?Bukankah “IQRA” juga berhasil melahirkan ilmuwan-ilmuwan Islam di awal-awal kemunculan Abad Pencerahan di Eropah?
Lantas, jika sedemikian hebatnya pengaruh “IQRA” terhadap kebangkitan Islam di zaman itu, lalu mengapa kita umat Islam seakan-akan terus dibayangi oleh gelapnya malam, oleh gelapnya kebodohan, oleh gelapnya kemiskinan, bahkan parahnya lagi oleh gelapnya kejahiliyahan?

IQRA jika dikaji dengan lebih mendalam mengandungi rahsia berikut:

Aliif = “alamin” (alam semesta)
Qaaf = “qalam” (gejala alam)
Raa = “ra’a” (membaca dengan mata)

Kalau direnung dengan mata hati, maksud IQRA membawa kepada pengertian

Aliif = “aqlu” (fikiran).
Qaaf = “qalbu” (perasaan).
Raa = “ruuh” (jiwa).

Jelaslah bahawa IQRA akan membukakan wawasan kalbu, menghasilkan pelbagai pelajaran dan nasihat, memberikan pelbagai hikmah, melancarkan lisan, meningkatkan kemampuan berfikir, mengukuhkan pengetahuan tentang ragam hakikat, dan akan menghilangkan syubhat.

Sebaliknya keenganan untuk ber"IQRA" dan meninggalkan pemikiran terhadap kitab-kitab dan tidak mentelaahnya sendiri, sama dengan mengekang kelancaran lisan, membatasi pembentukan perwatakan, membuatkan fikiran menjadi beku, akal pun menjadi tegang, watak menjadi mati, dan modal pengetahuan menjadi layu, serta fikiran menjadi gersang.

Maka berlindunglah anda kepada Allah daripada pupusnya cita-cita, lemahnya tekad di dalam jiwa, dan bekunya semangat jiwa, kerana seseungguhnya hal ini merupakan musibah yang paling besar .........

Ahad, 13 Disember 2009

TETAMU SENJA






Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas

Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat

~ A. Samad Said

Sabtu, 12 Disember 2009

Renungan


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Jumaat, 11 Disember 2009

SENYUMLAH ...

Saya tertarik dengan kata-kata Ahmad Amin dalam tulisannya Faidhul Khathir iaitu :
Orang yang murah dengan senyuman dalam menjalani kehidupan ini bukan sahaja orang yang paling mampu membahagiakan diri sendiri, tetapi juga orang yang berkemampuan lebih dalam mengerjakan pelbagai urusan, lebih bertanggungjawab ketika memikul tugas, orang yang paling kuat menghadapi kesulitan dan memecahkan persoalan dan lebih profesional dalam memikul urusan penting yang bermanfaat bagi diri mereka dan masyarakat
Pendapat ini ada benarnya kerana "jiwa" yang sentiasa tersenyum akan melihat kesulitan deengan tenang sambil berusaha mengatasinya. Sebaliknya "jiwa" yang yang muram akan melihat kesulitan dengan kesedihan. Acapkali "jiwa" sebegini akan mencipta istilah " kalau..., bila... dan jika...". Seterusnya akan beralih menyalahkan waktu sebagai penyebabnya.
Sesungguhnya kita amat memerlukan kepada senyuman, wajah yang ceria, hati yang lapang, akhlak yang menawan, "jiwa" yang lembut dan keramahan. Ini bersesuaian dengan maksud hadis " Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku (Muhammad) agar kalian bersikap tawadhu' hingga tidak ada seorang pun yang berbuat zalim terhadap orang lain dan tidak ada seorangpun yang berlaku angkuh terhadap orang lain" (Al-Hadith)

Sabtu, 24 Oktober 2009

Selamatkah vokal kita?

Bukan suatu yang mustahil andai bila sampai satu ketika bahasa kita tidak lagi diwarisi dengan sebaiknya oleh generasi muda. Barangkali kenyataan ini mungkin ada benarnya bila kita mulai kehilangan huruf vokal dalam penulisan harian. Saya melihat fenomena ini sesuatu yang agak dangkal kerana apabila menatap hasil penulisan pelajar yang berbaur "budaya sms". Lihat sahaja ruang letak untuk menaip sms yang terhad menjadikan ejaan dikurangkan seringkas mungkin. Justeru apa yang mampu ditulis di ruagan serba 'mandul' itu hanyalah konsonan-konsanan.
Saya menerima pesanan ringkas yang berbunyi "y cht tk?" - You sihat tak. "blh kt jmp kt dpn kfc esk?" - boleh kita jumpa di KFC besok?. Ini cuma beberapa baris yang dapat saya kemukakan. Sebenarnya sebahagian pesanan ringkas ini langsung tidak saya fahami. Barangkali pemahaman anak muda dalam memartabatkan budaya "mandul bahasa" ini adalah tinggi. Lihat sahaja rata-rata mereka mampu saling membalas sms tanpa mempedulikan huruf vokal sedangkan kewujudan vokal adalah untuk mengharmonikan bahasa tersebut.
Saya tidak mahu dituduh anti kemodenan tetapi kalau inilah yang dinamakan kemodenan, maka dimana letaknya bahasa kita di mata generasi kita?...

Isnin, 3 Ogos 2009

Atas nama globalisasi

Zaman sentiasa mengalami perubahan. Memasuki alaf globalisasi maka terjadilah lonjakan perkembangan ilmu pengetahuan dan kepesatan teknologi. Dunia akan menjadi semakin sempit dan kadang-kadang bersifat 'transparen' dan seakan tiada batasan. Justeru itu maka berlakulah pergeseran pola hidup masyarakat. Pola masyarakat tradisional menjadimasyarakat moden, kehidupan berkerjasama menjadi lebih individualistik dan kehidupan yang bergantung kepada alam bertukar kepada penguasaan alam.

Masalah besar umat hari ini dalam memasuki era globalisasi ialah terjadinya interaksi kebudayaan secara meluas melalui media massa dengan berkembangnya pengaruh budaya materialistik, pemisahan kehidupan duniawi dari agama (sekularistik), dan pemujaan kesenangan indera mengejar kenikmatan badani (hedonistik). Gejala ini merupakan penyimpangan jauh dari budaya luhur turun temurun serta merta telah memunculkan berbagai bentuk Kriminalitas, Sadisme, Krisis moral secara meluas.

Pengaruh budaya popular kota (urban popular culture) yang hedonistik (mulai berkembang 1960), dan berkembang lagi US culture imperialisme (uncle Sam Culture) dan the globalization of lifestyle gaya hidup global, world wide sing (Madonna, Michael Jakson, dll) sejak tahun 1990 di saat memasuki era globalisasi. Kombinasi semua budaya ini mampu melumpuhkan urat nadi budaya luhur masyarakat timur yang terkenal dengan ketinggian budi dan kesantunan bahasa.

Malangnya atas nama globalisasi maka lahirlah generasi split personalities, peribadi yang terbelah “too much science too little faith”, lebih banyak ilmu dengan tipisnya kepercayaan keyakinan agama, berkembangnya fahaman nihilisme budaya senang lenang (culture contenment).

Pergeseran budaya juga melahirkan masyarakat yang pengidap penyakit sosial kronik dengan kegemaran berpeleseran. Aqidah umat memang sudah bertauhid namun akhlaknya tidak mencerminkan akhlak Islami, ekonominya bersistim Yahudi, muamalahnya tidak sesuai dengan muamalah yang diajarkan Islam, politiknya Machiavellis, budayanya hedonistik, materialistik dan sekularistik.

Persoalannya, adakah kita sudah bersedia menghadapi arus perubahan ini?

Selasa, 20 Januari 2009

Serba serbi tak kena

Assalamualaikum...
Rasanya lama betul ditinggalkan halaman ini. Hijrah itu baik dan demi mencari kebaikan itu maka banyak perkara yang perlu dikorbankan. Penghijrahan kali ini adalah atas dasar kepentingan peribadi dan ini adalah penghijrahan tempat dan suasana kerja kali ke-10.
Kali ini suasananya rasa berbeza amat. Mau taknya, selalunya bila berhijrah ke tempat baru, akan ada rasa "mungkin tak lama", tapi kali ini "memang kena lama-lama" Balik ke negeri sendiri memang seronok tapi bila meninjau keadaan tempat kerja baru dengan zon "teramatlah santainya" membuatkan hati rasa 'terharu'. Segala-galanya santai iaitu bermula dari bilik kerjanya ala-ala zaman P. Ramlee hinggalah pelajarnya yang ala-ala 'cowboy hilang pistol'.
Harapannya biarlah ada sedikit ruang untuk memperbetulkan keadaan serba santai ini menjadi lebih warna-warni. Satu soalan timbul dibenak. Betulkah otak orang Melayu di sini paling sempurna? Sempurna kerana kurang digunakan berbanding dengan otak orang Jepun yang sudah "cedera parah" kerana diasak penggunaannya siang dan malam?. Agaknya sebab otak yang "sempurna" inilah yang sering menjadi rebutan para ekonomi agar dapat dijadikan aset utama kepada "kekayaan". Wallahualam