BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Isnin, 5 Julai 2010

Percayakah Anda?

Saat-saat melahirkan bayi adalah sesuatu yang indah: Kegembiraan, ketakutan, kesakitan, rasa cinta dan kasih serta banyak lagi seolah-olah bersatu. Bayaran untuk proses tersebut juga adalah taruhan nyawa yang tinggi. Tatkala kita membicarakan mengenai kesihatan ibu mengandung, kelahiran, kehamilan dan sebagainya, dalam masa yang sama setiap hari iaitu setiap satu minit akan berlaku kematian akibat proses kelahiran. Sebagai tambahan, statistik menunjukkan 10 hingga 15 million wanita menderita akibat dari kesukaran proses kelahiran atau akibat dari proses kehamilan itu sendiri.

Sama ada anda percaya atau tidak, sebenarnya statistik kematian tersebut sering dirahsiakan. Bukti terkini menunjukkan peningkatan kadar kematian di hampir 181 negara di dunia melibatkan negara membangun maupun negara yang sedang membangun. Kadar kematian tersebut perlahan-lahan meningkat bermula purata 1.3% setahun bermula tahun 1980 hingga 2008. Semenjak tahun 2000, kadar tersebut cuba dikurangkan dan menjelang 2015, kadar tersebut disasarkan kepada pengurangan sebanyak 75% namun demikian, ternyata hanya 12 negara sahaja yang mungkin berjaya mencapai sasaran tersebut.

Cabaran untuk mengurangan kadar kematian tersebut menjadi misi utama hampir seluruh negara di dunia. Cara penyelesaian ke arah itu bukanlah sesuatu yang mudah pula. Bagi negara yang mempunyai kemudahan yang mencukupi, hal tersebut bukanlah sesuatu yang menyulitkan. Dengan bekalan perubatan dan peralatan terkini, maka sudah barang tentu kadar kematian akibat risiko kehamilan dan kelahiran tersebut akan dapat diminimumkan.

Bagaimana nasib ibu-ibu hamil di negara-negara lain?. Di Peru, wanita yang akan bersalin terpaksa berusaha mendapatkan kemudahan tersebut dengan pelbagai cara. Mereka terpaksa berpindah randah untuk mendapatkan bekalan perubatan di kawasan bandar yang jauh dari kediaman dan terpaksa pula menanggung pelbagai risiko lainnya. Wanita-wanita yang hamil di pedalaman India pula terpaksa membayar sejumlah wang kepada pusat perubatan bagi mendapatkan rawatan dan ini ditambah pula terdapat pantang larang kelahiran yang harus dipatuhi iaitu tidak boleh bersalin di tempat lain kecuali di rumah sendiri. Hal ini menjadi lebih parah apabila wujudnya perkahwinan pada usia muda. Kehamilan dalam usia muda berlaku dan golongan muda ini tidak pula mendapat pendedahan tentang pendidikan mengenai kehamilan dan kelahiran. Di Sierra Leone pula mencatatkan rekod kematian akibat komplikasi kehamilan dan kelahiran yang sungguh menakutkan. Statistik menunjukkan 1,033 wanita mati untuk setiap 100,000 kelahiran! Ini adalah catatan angka yang paling tinggi di dunia!!!

Barangkali angka-angka ini bukan menjadi isu di Malaysia kerana kadar kematian akibat kehamilan dan bersalin bukan menjadi fokus utama. Orang Malaysia "tidak peduli" dengan fakta ini kerana ibu-ibu muda yang hamil lebih mementingkan "Kemana hendak dicampakkan hasil kelahiran tersebut" berbanding dengan risiko kematian akibat proses bersalin itu sendiri. Wallahualam...

Ahad, 4 April 2010

Kembangkan Imaginasi dan Kreativiti Anda.


Anda tidak perlu menjadi seorang pakar untuk mencipta kejayaan!.
Hal ini mungkin ada benarnya apabila kita merenungi kembali kata-kata Alfred North Whitehead "semua perkara penting dilihat oleh orang yang tidak menyedarinya". Ambil sahaja contoh penciptaan kamera kodak oleh seorang tukang besi iaitu Thomas Davenport manakala vacuum pula dicipta oleh pengurus jenazah bernama Hubert Booth. Sekadar menyebut beberapa nama, rasanya sudah cukup memberikan gambaran tentang peri pentingnya kreativiti dalam kehidupan kita.
       Kadang-kadang penolakan terhadap idea yang "gila" mungkin membawa petanda bahawa idea kita mempunyai potensi yang hebat. Barangkali kata-kata Robert Townsend mampu membuktikannya. Belaiu berpendapat bahawa nilai sesebuah idea biasanya setanding dengan tentangan hebat yang kita terima. Sebagai contoh, Pengasas pisau cukur Gillatte iaitu King C. Gillate telah mencuba hampir 6 tahun untuk memujuk orang ramai melabur dalam syarikatnya sebelum berjaya mengumpulkan dana membuka syarikatnya.  Itu belum lagi catatan  markah `C` bagi kertas cadangan Fred Smith yang dianggap membawa idea gila  berhubung penghantaran semalaman oleh Federal Exspress Corporation.
        Betapa pentingnya nilai kreativiti dan imaginasi. Kita membayar lebih banyak untuk kreativiti dan imaginasi sebaliknya membayar sedikit sahaja untuk bahan yang dibeli. Contohnya, kita membeli cd yang kosong dengan harga RM1.00 sahaja, tetapi untuk CD dan perisiannya mungkin mencecah RM50,000. Apa yang penting bukan bahannya tetapi imaginasi yang terkandung dalam perisian tersebut. Bill Gates contoh paling tepat kerana berjaya menjual imaginasinya. Ini dibuktikan dengan kenyataan beliau " Kita menggunakan peralatan untuk mengerakkan kekuatan tenaga kita pada masa dahulu. Sekarang kita menggunakan peralatan untuk menggerakkan kekuatan minda kita".
         Ternyata zaman globalisasi kini berada dalam zaman Ekonomi Pengetahuan dimana ilmu pengetahuan boleh digapai oleh sesiapa sahaja. Cabar peraturan-peraturan lama dan cuba melanggarnya. Sebenarnya orang yang telah berjaya akan melakukan sesuatu dengan cara berbeza. Jika kita tidak berubah secepat aliran zaman, kita akan kehilangan banyak peluang... perubahan bermaksud meninggalkan peraturan-peraturan lama yang sudah selesai menjalankan tugasnya. Bak kata pepatah "sekali merengkuh dayung, dua tiga pulau terlampau". Fikir-fikirkanlah..
   

Khamis, 18 Mac 2010

BILA "TANGGUNG DAN JAWAB" TIDAK DATANG SERENTAK...



Ramai manusia dilahirkan dengan  frasa ini, tetapi ada juga yang lahir dengan dua frasa yang berasingan. Ada yang hanya lahir sebagai ahli 'tanggung menanggung', dan ada yang memang sedar-sedar memang ahli 'jawab menjawab' dalam semua hal. Malah apa sahaja yang datang atau ditanya pasti dijawab. Bagaimana jadinya kalau dua frasa ini datangnya berasingan dalam hidup manusia?. Jawapannya tentulah manusia itu menjadi  'mandul' dan  bejat pula. Bak kata pepatah "Bagai kukur apa kepada kukur, nyiur juga yang binasa"  atau  lebih kepada "tuah anjing, celaka kuda"? 

Apabila berlaku sesuatu kes,  "disangka tiada akan karam, ombak yang kecil diabaikan" lalu bila ombak menjadi lebih besar barulah kita  'melatah' dan melompat-lompat  mengelak  malah yang parahnya masing-masing macam 'kera kena belacan' atau kita menjadi 'seperti udang menyalahkan ikan'....,

Tuntasnya, kita sebenarnya berada dalam frasa mana? Adakah kita ahli 'tanggung' atau ahli 'jawab'?  Sila rujuk kepada kes-kes berikut:-

Kes 1

KANGAR: Peniaga char kuetiau, Muhamad Taufik Noorzan, dikatakan berada dalam keadaan mabuk kerana dipengaruhi minuman keras, sebelum mengamuk dan ditembak mati polis dalam kejadian di Guar Sanji, dekat Arau, di sini, pada pagi 14 November tahun lalu.
Perkara itu dimaklumkan sendiri rakan si mati, Mohd Rashidi Abdul Rahman, 24, yang juga saksi pertama inkues berhubung kematian Muhammad Taufik, di Mahkamah Koroner, di sini, semalam.

Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Azman Abu Hassan, Mohd Rashidi berkata Muhamad Taufik disedari mabuk selepas mengamuk dan membelasahnya ketika bertengkar di hadapan kawasan kedai di Guar Sanji, di sini, pada pagi sebelum kejadian.
Ketika itu, katanya Muhamad Taufik bukan saja menumbuk, malah turut membelasahnya menggunakan objek tumpul berwarna hitam, selepas tidak berpuas hati kerana ditinggalkan di sebuah disko di Alor Star.
“Saya tahu dia mabuk kerana sebelum itu dia dan seorang lagi rakan yang hanya dikenali sebagai ‘Yat’ banyak ambil minuman keras ketika di disko,” katanya.
Terdahulu, Mohd Rashidi yang juga penyelia sebuah syarikat swasta, di sini, memaklumkan mahkamah bahawa Muhamad Taufik dan Yat menghabiskan dua baldi berisi masing-masing kira-kira 10 tin bir ketika berhibur di disko berkenaan.

Sebelum itu, katanya, Muhamad Taufik dan Yat juga mengambil sebotol minuman keras ketika singgah di Hatyai Kafe, Alor Star, sebelum ke disko.
Malah, sebelum mengamuk pada pagi 14 November lalu, katanya, Muhamad Taufik dan Yat turut meneguk air ketum di dalam kereta miliknya ketika berhenti di Warung Pak Uda, Guar Sanji, di sini, yang dikatakan siap sedia dibawa si mati sebelum bertolak ke Alor Star, malam sebelumnya.
Kes 2

Pada 26 Feb lepas, Syafia meninggal dunia akibat didera oleh teman lelaki ibunya di rumah mereka di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali.Manakala Haresvarren pula mati setelah dipercayai dipijak oleh jirannya sehingga tidak sedarkan diri di sebuah taman permainan di Kayu Ara, Khamis lepas.

"Tindakan pijak (kanak-kanak) tak bertamadun dan zalim. Ada jiran yang nampak dan dengar jenayah itu berlaku tetapi tak laporkan pada polis."Bila kita (polis) diberitahu, polis akan datang untuk ambil tindakan. Masyarakat dulu bersatu tak seperti sekarang, suka bersendirian dan tak mahu campur orang (lain),"
Musa berkata demikian ketika mengulas mengenai kes penderaan kanak-kanak perempuan Syafia Humairah Sahari, 3, dan seorang kanak-kanak lelaki K. Haresvarren berusia 18 bulan.

Masyarakat masa kini lebih bersikap pentingkan diri dan seolah-olah lepas tangan walaupun membabitkan kes jenayah yang berlaku di depan mata.

Kes 3

ALOR SETAR, 4 Mac (Bernama) -- Seorang wanita maut selepas ditikam dengan pisau, manakala suspeknya pula cuba membunuh diri dalam satu kejadian di lorong belakang Taman Kristal di kawasan perindustrian Mergong, di sini malam Khamis.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Abdul Ghafar Rajab berkata dalam kejadian pukul 10 malam semalam, kedua-dua wanita yang juga rakan sekerja di sebuah kedai alat tulis di sini, telah berselisih faham sebelum berlaku pertengkaran besar di antara mereka.
Katanya mangsa, Suhana Mohd Sharif, 26, dipercayai ditikam sebanyak tujuh kali, manakala suspek berusia 33 tahun telah bertindak menikam diri serta mengelar pergelangan tangannya selepas mencederakan mangsa.

Kes 4

KLANG, 15 Mac - Mayat bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui di dalam plastik sampah yang ditinggalkan di atas rumput kira-kira 6.30 pagi Isnin."Bayi yang berkulit cerah itu ditemui dibalut dengan tuala dan dimasukkan ke dalam beg plastik sampah. Bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam berdasarkan keadaan tali pusatnya yang masih berdarah."Mangsa dipercayai telah meninggal dunia sebelum dibuang kerana badan mangsa telah dibersihkan. Tiada kesan kecederaan ditemui pada mangsa," kata Ketua Polis Daerah Klang, ACP Mohamad Mat Yusop.

Kes 5

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berperwatakan alim kerana sering berkopiah dibelasah selepas perbuatan terkutuknya meliwat seorang remaja diketahui abang ipar mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan kejinya itu, kelmarin.
Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira jam 11 pagi di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kepong selepas remaja berkenaan menceritakan kepada abang iparnya yang dia diliwat lelaki berkenaan yang berusia pertengahan 50-an.

Kes 6

ALOR STAR: Pengalaman kali pertama melahirkan anak luar nikah tidak menginsafkan seorang wanita berusia 20 tahun, sebaliknya dia terus bergelumang dosa dan mengandung anak luar nikah buat kali kedua.
Lebih mengejutkan, ketika pasukan perubatan berkejar ke kediamannya di sebuah kawasan perumahan di Mergong di sini, petang semalam, dia masih sempat berdandan dan memakai alat solek di depan cermin.
Malah, ibu bapanya juga dilihat tidak berasa malu ketika pasukan perubatan dari sebuah hospital di bandar raya ini tiba di rumah mereka untuk mengambil anaknya yang sakit untuk bersalin walaupun disaksikan ramai jiran.
Sumber berkata, wanita terbabit dipercayai ‘ketua keluarga’ dan berperanan menjaga ibu bapanya menyebabkan mereka tidak berani ‘bersuara’ untuk menghalang perbuatan mungkar itu.
Menurutnya, ini kerana bapanya didapati hanya terbaring di bilik akibat menghidap pelbagai penyakit.
“Namun, yang menjadi persoalan, bagaimana bayi yang bakal dilahirkan itu dibesarkan sama ada diserahkan secara percuma atau ‘berbayar’ kepada pihak lain.

Kes 7

KOTA BHARU: Tidak cukup menikahi budak berusia 11 tahun, Siti Nur Zubaidah Hussin, lelaki dikenali sebagai ‘Sudin Ajaib’ dikatakan turut merancang untuk mengahwini seorang lagi kanak-kanak.
Difahamkan, Sudin Ajaib yang turut menikahkan anaknya berusia 10 tahun dengan ahli jemaah, pernah memberitahu seorang rakannya dia mahu mengahwini seorang lagi kanak-kanak dari Ketereh, dekat sini.






Selasa, 23 Februari 2010

Seorang-kanak-kanak kecil


Seorang kanak-kanak pergi ke sekolah
Hebat juga kanak-kanak ini
Dan hebat juga sekolahnya yang besar
Tetapi apabila kanak-kanak itu mendapati
Dia dapat memasuki kelasnya
Dari pintu di luar
Kanak-kanak itu gembira
Sekolahnya yang hebat itu
Tidaklah sebesar yang disangka

            Suatu pagi
            Apabila kanak-kanak itu bersekolah sekian   lama
            Guru berkata:
            “hari ini kita akan melukis gambar”
            “Baik!” kata kanak-kanak kecil
            Kanak-kanak itu suka melukis gambar
            Kanak-kanak itu pandai melukis gambar
            Gambar singa dan harimau
            Gambar ayam dan lembu
            Gambar keretapi dan perahu
            Dan kanak-kanak itu mengeluarkan warna krayonnya
            Dia mula melukis

Tetapi guru berkata: “Tunggu!”
“belum masanya untuk bermula!”
Dan guru itupun menunggu semua pelajar bersedia…
“sekarang,” kata guru,
“kita akan melukis gambar bunga”
“baik!” kata kanak-kanak itu
Kanak-kanak itu suka melukis bunga
Kanak-kanak itu mula melukis bunga yang cantik
Dengan krayonnya yang merah jambu, jingga dan biru

Tetapi guru berkata “tunggu!”
“dan guru akan tunjukkan.”
Guru mula melukis bunga di papan hitam
Bunganya merah, batangnya hijau
“nah,” kata guru
“sekarang boleh mulakan.”

            Kanak-kanak itu melihat bunga gurunya
            Kemudian melihat pula bunganya
            Kanak-kanak itu lebih suka bunga yang dilukisnya
            Tetapi kanak-kanak itu tidak bersuara
            Kanak-kanak itu hanya memalingkan kertasnya
            Dan melukis gambar bunga serupa bunga gurunya
            Merah bunganya, hijau batangnya

Pada suatu hari yang lain,
Apabila kanak-kanak itu membuka pintu
Masuk sendiri dari luar ke dalam
Guru berkataa:
“hari ini kita akan membuat sesuatu dengan tanah liat.”
“baik!” kata kanak-kanak itu
Kanak-kanak itu sukakan tanah liat

            Tetapi guru berkata:”tunggu!”
“belum masanya untuk bermula.”
Dan guru menunggu semuanya bersedia…
“sekarang,” kata guru
“kita akan membuat piring”
“baik!” kata kanak-kanak itu
Kanak-kanak itu suka membuat piring
Kanak-kanak mula membuat piring
Pelbagai bentuk, pelbagai rupa

Tetapi guru berkata “Tunggu!”
“dan guru akan tunjukkan”
Dan guru mengajar semua orang
Bagaimana membuat piring yang dalam

            Kanak-kanak itu melihat piring gurunya
            Kemudian melihat piringnya
            Kanak-kanak itu sukakan piring yang dibuatnya lebih dari gurunya
            Tetapi kanak-kanak itu tidak bersuara
            Kanak-kanak itu hanya menguli tanah litany
            Dan membuat piring serupa piring gurunya
            Piring yang dalam

Dan tidak lama kemudia
Kanak-kanak itu mula belajar menunggu
Dan melihat
Dan membuat semuanya seperti cara gurunya
Dan tidak lama kemudian
Kanak-kanak itu tidak lagi membuat caranya

Kemudian terjadilah
Kanak-kanak itu dan keluarganya berpindah rumah
Berpindah ke Bandar
Dan kanak-kanak itu terpaksa pergi ke sekolah lain

            Sekolah barunya lebih besar
            Lebih hebat dari yang lama
            Dan tiada pintu dari luar
Masuk ke dalam kelasnya
Kanak-kanak itu terpaksa menaiki tangga
Dan berjalan melalui dewan yang panjang
Untuk masuk ke kelasnya
Dan ketika hari pertama
Kanak-kanak itu di situ
Guru berkata:
“hari ini kita akan melukis gambar”
“baik” fikir kanak-kanak itu
Dan kanak-kanak itu menunggu gurunya
Menunggu arahan gurunya

Tetapi guru tidak berkata-kata
Guru hanya berjalan sekeliling kelas
Guru bertanya “tidak tahukah kamu melukis gambar?
“apa yang hendak dilukis?”
“Guru tidak akan tahu sehingga kamu melukis” kata guru
            “bagaimana hendak saya lukis?” Tanya kanak-kanak itu
“bagaimana yang kamu mahu”, kata gurunya
“warna apa sahaja?” Tanya kanak-kanak itu
“warna apa sahaja”, jawab guru itu
“kalau semua orang melukis benda yang sama, warna yang sama
Bagaimana guru tahu siapa lukis apa
Dan mana satu empunyanya?”
“entahlah” kata kanak-kanak itu
Dan dia mula melukis
Gambar bunga, merah jambu dan jingga, biru pun ada

Kanak-kanak itu sukakan sekolah barunya…
Sekalipun tiada
Pintu dari luar
Masuk ke dalam kelasnya!

Isnin, 22 Februari 2010

"Don't Ask, Don't Tell"



" There are, according to recent study, some 66,000 gays, lesbians and bisexsuals serving in U.S. armed forces, all of whom are compelled to hide their sextual orientation..." - Time:Feb 2010

      Penglibatan golongan ini dalam tentera pada suatu ketika iaitu dalam zaman kegemilangan Greek bukanlah suatu fenomena yang baru. Matlamat mereka kononnya bagi membantu meningkatkan kualiti wira. Malah dalam siri peperangan Napoleon juga hal sedemikian seolah-olah menjadi perkara yang normal.
Tidak menghairankan juga dalam era peperangan Vietnam, golongan ini juga cuba untuk mengikhtiraf kehadiran dan juga kepentingan mereka. Kemenangan ses perbicaraan salah laku seksual seorang tentera U.S. Perry Watkins pada tahun 1968 yang berkhidmat hampir 16 tahun dalam tentera seolah-olah menggambarkan fenomena tersebut. Dasar negara Uncle Sam iaitu "don't ask, don't tell" dalam menangani isu ini sebenarnya telah menyebabkan golongan ini berani menyelinap masuk ke dalam angkatan bersenjata mereka. Hal ini bukanlah sesuatu yang menghairankan bila rekod yang diambil sejak tahun 1994 menunjukkan lebih 12,000 tenteranya telah dikenakan tindakan berhubung isu tersebut.

Bagaimana pula keadaannya di Malaysia? Mari kita renungkan bersama-sama. Dalam Kitab Sahih Al-Bukhari disebut " Allah melaknat lelaki yang cuba menyerupai wanita dan wanita yang cuba menyerupai lelaki"
Kajian yang dilakukan oleh Institut Perguruan Tun Hussein Onn tahun 2008 agak memeranjatkan iaitu dianggarkan kira-kira 10,000 orang pengkid di seluruh Malaysia. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 80% merupakan pengkid berketurunan Melayu yang terdiri daripada pelajar dan mahasiswi universiti tempatan. Menurut Profesor Madya Mohd. Makzan Musa di Jabatan Psikologi Universiti Utara Malaysia "Homoseksualiti wujud dalam kekaburan dan bergerak dalam senyap". Isu ini dianggap 'rahsia tebuka' yang enggan dibicarakan secara 'terbuka'.

Islam menjadikan manusia sebaik-baik dan semulia-mulia makhluk, tetapi boleh menjadi lebih hina berbanding binatang apabila membiarkan akal dikawal oleh hawa nafsu.

Ahad, 21 Februari 2010

BERAPA NILAI MASA ANDA?




Masa yang dibekalkan kepada manusia ialah 24 jam sehari dan tidak ada manusiapun mendapat kelebihan dan kekurangan masa meskipun sesaat. Namun, pernahkah kita bertanya kepada diri kita "sejauhmana kita menghargai nilai 24 jam itu ?". Kadang-kadang dalam paradok kehidupan, masa 24 jam tidak pernah mencukupi bagi manusia.
Sebenarnya itu bukan persoalan utama, tetapi apa yang menjadi perkara pentingnya ialah bagaimana kita menikmati kualiti masa 24 jam tersebut dalam sehari. Adakah masa tersebut kita habiskan dengan sebaik mungkin?. Promod Brata dalam bukunya "Born To Win" pernah membahagikan kualiti masa bagi seorang manusia yang berumur 70 tahun. Kajian yang beliau lakukan mendapati bahawa waktu warga yang berumur 70 tahun dihabiskan seperti berikut:-

a) 25 tahun untuk tidur
b) 8 tahun untuk belajar
c) 7 tahun untuk berhibur / berekreasi
d) 6 tahun untuk berehat atau sakit
e) 5 tahun untuk berkomunikasi
f) 4 tahun untuk makan
g) 3 tahun untuk penyesuaian
h) 12 tahun untuk bekerja

John C. Maxwell dalam bukunya "Today Matters" telah mengklasifikasikan harga masa kepada beberapa kategori antaranya'

1. Bagi mengetahui nilai satu tahun tanyakan kepada pelajar yang gagal dalam peperiksaan akhir
2. Bagi mengetahui nilai satu bulan tanyakan kepada ibu yang melahirkan bayi yang tidak cukup bulan,
3. Bagi mengetahui nilai satu minggu tanyakan kepada editor majalah mingguan,
4. Bagi mengetahui nilai satu hari tanyakan buruh harian yang mempunyai enam anak,
5. Bagi mengetahui nilai satu minit tanyakan kepada kekasih yang sedang menunggu waktu bertemu,
6. Bagi mengetahui nilai satu saat tanyakan kepada orang yang terselamat daripada kemalangan dan,
7. Bagi mengetahui nilai satu milisaat tanyakan kepada pemenang pingat perak dalam sukan Olimpik.

Perubahan hidup perlu diseiringkan dengan perubahan usia dan waktu. Kita tidak boleh melawan umur. Kita kadang-kadang tidak suka untuk keluar dari "zon selesa" dan untuk tujuan mengekalkan zon tersebut, kita bekecenderungan untuk meletakkan seberapa banyak alasan sebagai benteng pertahanan kepada zon tersebut. Justeru itu, tidak hairanlah ada peribahasa Melayu berbunyi "Bagai sepuluh jong masuk pelabuhan, anjing bercawat ekor juga" dengan mengambarkan keadaan kita yang tidak mahu berubah walaupun banyak melihat perubahan berlaku di sekitar kita.

Sabtu, 30 Januari 2010

LUAR BIASA VS LUAR BINASA

Orang tua datang ke surau- biasa
Orang muda datang ke surau - luar biasa
Orang tua tidak datang ke surau - luar binasa
Isu biasa dalam kalangan umat Islam kini semakin menjadi-jadi. Lihat sahaja orang Islam meminum arak,orang-orang Islam masuk ke tempat-tempat perjudian seperti TOTO dan Magnum dan banyak lagi perkara yang dulunya luar biasa sudah menjadi luar binasa.
Terumbang-ambing dalam mengenal diri juga adalah merupakan ciri-ciri orang yang luar binasa.Keadaan dunia hari ini penuh dengan kenikmatan, banyak pilihan, penuh rupa dan banyak warna. Semua ini bercampur baur dan anda adalah sebahagian dari dunia ini. Maka sudah tentu anda mengalami kesukaran untuk memilih antara menjadi biasa, luar biasa maupun luar binasa.
"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Maka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) Al-Baqarah:214)
Nabi tidak akan melakukan sesuatu yang biasa melainkan luar biasa belaka. Tanyalah diri anda"Apakah perkara yang luar biasa anda lakukan?"
Tukarkanlah tabiat Biasa kepada luar biasa dengan mengunjungi masjid dan menghamparkan kening di atas lantai tempat sujud dalam rangka mearih keredhaan dari Ilahi.Ini adalah salah satu nikmat Allah yang paling besar - jika kita mahu berfikir iaitu dengan melaksanakan solat wajib lima waktu sehari semalam. Sesungguhnya Luar binasa akan berlaku apabila anda menjauhi masjid dan meninggalkan solat, anda hanya akan beralih dari satu kebinasaan kepada satu kebinasaan yang lain, dari goncangan binasa jiwa yang satu ke goncangan binasa jiwa yang lain.
Allah tidak ampunkan dosa pada malam Nisfu Syaaban terhadap enam golongan manusia :
(1) Orang yang kekal minum arak.
(2) Orang yang derhaka dua ibubapanya,
(3) Orang yang kekal dalam zina,
(4) Orang yang banyak berkelahi,
(5) Orang yang melakukan penjualannya dengan sumpah yang dusta,
(6) Orang yang memperlagakan orang supaya berkelahi. (Al-Hadis).

"... Maka kecelakaanlah bagi mereka dan Allah menghapus amal-amal mereka ..." (Muhammad:8)